Mula Bicara

 

Seuntai Kata


Alhamdulillah, berbanyak syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya, Sekolah Kebangsaan Badak maju setapak lagi berjalan seiring dengan kehendak kementerian dalam memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat.


Saya kira, langkah kementerian yang mewajibkan sekolah-sekolah membina laman web sendiri amat bertepatan dengan kemajuan perhubungan global hari ini. Tambahan lagi, bidang pendidikan yang sememangnya bersifat “give and take” amat memerlukan satu rangkaian teknologi maklumat yang sentiasa terkini agar sektor pendidikan kita boleh muncul sebagai satu sektor yang benar-benar bertaraf dunia.


Dengan terbinanya laman ini, diharapkan Sekolah Kebangsaan Badak tidak lagi ketingggalan dalam menerima maklumat daripada jabatan khasnya dan daripada semua pihak amnya. Ini akan membantu SK. Badak sebagai sebuah sekolah luar bandar untuk terus maju. Bak kata orang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan semua sekolah di negara ini.


Diharapkan juga para ilmuan atau cendekiawan yang mengunjungi laman kami dapat berkongsi atau menyumbang idea, pengalaman atau apa saja pandangan yang bernas bagi memajukan lagi SK. Badak.


Laman web sekolah akan mengatasi masalah perhubungan segera yang perlu dilakukan baik sesama sekolah di dalam zon maupun daripada pihak jabatan. Dengan itu, diharapkan selepas ini, segala aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan lebih sempurna .

Akhir kata dari saya,

MAJULAH SEKOLAH UNTUK NEGARA.

Sekian, terima kasih.

Mohd. Daud b. Abdullah
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Badak

 

 

 


Bingkisan Aluan


Dikesempatan ini saya merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang menyatakan sepatah dua kata sempena pembinaan laman web Sekolah Kebangsaan Badak. Saya sebagai Pengerusi PIBG berasa bertuah kerana dapat melihat system pendidikan kita yang semakin maju sejajar dengan perkembangan teknologi dunia hari ini.

Dengan terbinanya laman web ini sekolah ini, terbukti kesungguhan kerajaan untuk memajukan system pendidikan Negara. Guru-guru dan murid-murid kini bertuah kerana berpeluang menimba ilmu dengan adanya kemajuan sistem perhubungan tanpa sempadan.

Laman web berfungsi untuk bertukar-tukar maklumat dalam kadar segera. Saya kira selepas ini tidak akan ujud lagi masalah ketinggalan maklumat sebagaimana yang dialami sebelum ini. Dengan itu juga, kelicinan pengurusan sekolah dan P&P dapat dipertingkatkan serta dapat membebaskan diri dari kongkongan bagai katak bawah tempurung. Lebih-lebih lagi bagi sekolah luar Bandar seperti SK. Badak ini.

Saya bagi pihak PIBG amat bangga dengan perkembangan ini. Selepas ini, semua ibu bapa atau penjaga boleh berurusan dengan pihak sekolah dengan pantas. Tiada lagi alasan kesuntukan masa untuk bertanya khabar tentang pembelajaran anak-anak di sekolah. Pun begitu, saya amat mengharapkan agar ibu bapa atau penjaga memanfaatkan laman web ini untuk kepentingan anak-anak kita bukannya sebagai satu pentas untuk melepaskan geram jika ada sebarang masalah berbangkit.

Akhir kata dari saya, manfaatkanlah segala yang ada untuk kebaikan.

Sekian, terima kasih.

MOHD. KAMARUDDIN BIN MUSA
Pengerusi PIBG,
Sekolah Kebangsaan Badak.

Hak Cipta terpelihara © 2004, Sekolah Kebangsaan Badak